Friend 4 Ever

01 March 2010

Learning Outcome 5:


Berikut adalah penulisan bagi Learning Outcome 5 yang telah disediakan oleh ahli kumpulan 5 iaitu Cikgu Aida, Cikgu Fathil, Cikgu Katijah dan saya sendiri


Analyze new developments in teaching mathematics to dyslexia and dyscalculia pupils
__________________________________________________

Pengenalan

Seseorang yang bermasalah pembelajaran bukan bererti dia tidak mampu belajar. Adalah satu tanggapan yang silap apabila kita katakan kanak-kanak ini tidak boleh belajar dan tidak akan dapat belajar. Mereka boleh belajar dan bijak seperti orang lain. Cuma cara belajar mereka mungkin berbeza. Mereka mempunyai cara belajar yang berbeza dan tersendiri. Setiap kanak-kanak belajar dengan cara yang berbeza. Begitu juga dengan kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran.

Walaupun dikumpulkan semua kanak-kanak bermasalah pembelajaran , mereka masih tidak sama antara satu sama lain. Di antara jenis-jenis masalah pembelajaran ialah diskalkulia dan disleksia. Perkataan diskalkulia bermakna kesulitan pengiraan dalam kemahiran-kemahiran yang tertentu dalam matematik. Ada di antara kanak-kanak diskalkulia yang mahir berbahasa, menulis dan membaca tetapi akan lemah apabila melibatkan nombor. Namun, ini tidak bermakna mereka tidak dapat menguasai kemahiran-kemahiran matematik ini cuma mereka memerlukan jumlah masa yang mencukupi dalam melaksanakan operasi-operasi dalam matematik serta kaedah-kaedah yang bersesuaian dengan kebolehan mereka. Kanak-kanak disleksia pula menghadapi masalah dalam mengenali huruf dan membaca perkataan. Tidak akan ada pada mereka yang mengalami disleksia persamaan di antara satu sama lain. Terdapat perbezaan tahap disleksia dari yang ringan, sederhana dan yang serius. Ada di antara kanak-kanak disleksia melihat huruf-huruf secara terbalik dan huruf-huruf itu seakan-akan bergerak dan berselerak apabila dibaca. Kanak-kanak disleksia kurang menghadapi masalah dalam nombor tetapi akan menghadapi masalah apabila wujudnya perkataan-perkataan dalam ayat matematik.

Pembentukan keyakinan diri asas pendidikan disleksia dan diskalulia

Bagi kanak-kanak disleksia mahupun diskalkulia, mereka memerlukan perhatian dan pendekatan yang berbeza dalam proses pembelajaran. Kebanyakan kanak-kanak ini merasakan diri mereka lemah dan malas dalam pembelajaran apabila mereka tidak boleh menguasai proses pembelajaran tersebut. Apabila mereka menghadapi kesulitan yang berpanjangan baik dalam menulis, membaca maupun dalam pengiraan, ini akan mengakibatkan permasalahan yang lebih serius lagi. Mereka akan merasakan bahawa kebanyakan murid yang lain dapat melakukan aktiviti tanpa sebarang masalah sedangkan mereka susah untuk memahaminya. Maka timbul persoalan bahawa adakah mereka ini lembam atau bodoh. Inilah kesimpulan yang sering dilakukan oleh setiap orang yang berhadapan dengan situasi yang sama.

Membina ’self-esteem’ dan keyakinan diri.

Sebaik manapun teknik pembelajaran seperti penggunaan ’phoneme’, buku-buku yang menarik dan permainan yang melibatkan perkataan, perkara yang paling asas yang perlu diterapkan kepada kanak-kanak ini ialah pembinaan keyakinan diri yang tinggi. Permasalahannya, disleksia dan diskalkulia tidak kelihatan secara fizikal. Jika seorang kanak-kanak yang tangannya patah, pertimbangan dan simpati akan diberikan. ’Sudah tentu dia tidak boleh menulis, tangannya patah. Tidak ada kaitan dengan kecerdasannya.’ Tetapi tidak ada sesiapa yang akan berkata, ’Sudah tentu dia tidak boleh menulis, dia telah mengalami brain circuit yang berbeza, tidak ada kaitan dengan kecerdasannya.’

Tanggapan kanak-kanak ini bahawa dirinya tidak pandai dan lembab adalah tidak tepat, ini perlu diperbetulkan terlebih dahulu jika kita ingin membina keyakinan diri dan meningkatkan semula self-esteem pada diri mereka agar lebih bersedia dan positif menerima pembelajaran yang seterusnya. Ini bukan sekadar memberitahu mereka bahawa mereka adalah bijak sepertimana kawan-kawan yang lain kerana usaha ini tidak akan memberi kesan. Mereka memerlukan bukti dan membina gambaran tentang diri sendiri. Hanya dengan cara ini, mereka akan melihat bahawa masalah pembelajaran mereka dapat di atasi dalam situasi yang sebenar, sama seperti kanak-kanak lain yang tidak mengalami masalah pembelajaran. Mereka juga ada kelemahan dan kekuatan yang tersendiri dalam bidang-bidang yang tertentu.

Kebanyakkan kanak-kanak disleksia mempunyai kekuatan dalam bidang ’fizikal co-coordination’, kreatif dan perasaan impati terhadap orang lain dan mereka akan dapati bahawa terdapat juga kanak-kanak biasa yang lemah dalam bidang yang sama. Salah satu cara yang mudah dan boleh dijalankan adalah dengan menyenaraikan kekuatan dan kelemahan kanak-kanak yang terlibat. Masa yang diperlukan adalah lebih kurang lima atau sepuluh minit untuk berbincang tentang apa yang disenaraikan. Aktiviti ini amat berkesan dan boleh dilakukan oleh guru ataupun ibu bapa. Sebagai contoh;

Kekuatan saya

Kelemahan saya

berenang membantu ibu

melukis menyapu sampah

mengemas meja menemani datuk

menjaga adik

membantu kawan

membaca

menulis

mengira

Apabila kanak-kanak ini menulis sendiri kekuatan dan kelemahan dirinya mengikut fahaman mereka, dia akan menyedari bahawa terdapat banyak kekuatan lain yang mampu dilakukan dan ini membuktikan bahawa mereka juga mempunyai kekuatan di bidang-bidang yang berbeza. Namun, kekuatan dan kelemahan ini perlu dibincangkan, kita tidak menghargai seseorang hanya kerana mereka pandai membaca atau pandai mengira, tetapi kita menghargai seseorang apabila mereka mempunyai kriteria-kriteria yang lain seperti suka membantu, rajin atau menghormati orang tua. Perbincangan ini boleh diteruskan sehingga kanak-kanak ini dapat melihat bahawa diri mereka juga seorang yang berjaya walaupun mengalami berbezaan dari segi pembelajaran berbanding dengan kanak-kanak lain.

Melihat diri mereka dalam satu cahaya yang baru akan menjadi satu titik permulaan bagi kanak-kanak disleksia dan diskalkulia memupuk keyakinan diri dan ’self-esteem’ yang akan merangsang mereka untuk lebih bersedia menerima pembelajaran dalam membina kemahiran membaca atau menulis. Usaha ini memerlukan masa dan sokongan yang lain contohnya dari segi puji-pujian yang harus diberikan bagi kejayaan dalam bidang bukan akademik, memberi penghargaan kepada mereka yang berusaha dan sentiasa menfokuskan usaha-usaha yang telah dilakukan dan bukan hasilnya. Tidak semua kanak-kanak akan menghasilkan keputusan yang baik tetapi semua kanak-kanak boleh berbangga dengan ketekunan dan usaha gigih mereka serta menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja yang diberikan. Dengan mengutamakan etika kerja, kita mengajar kanak-kanak bahawa mencuba adalah lebih penting dari mendapat markah penuh dalam setiap peperiksaan.(B.W.,Tennessee).

Salah satu kaedah lain yang boleh membina keyakinan diri dan ’self-esteem’ kanak-kanak ialah dengan cara menerangkan kepada kanak-kanak yang bermasalah ini tentang diri mereka sendiri dan kelainan mereka dari segi saintifik. Keyakinan diri berasaskan fakta-fakta saintifik akan menghasilkan pemahaman, keupayaan membuat keputusan dan ’self-esteem’. Ini telah disarankan oleh Dr. Debby Zambo dari Arizona State University West, College of Education.

Guru-guru yang mahir dan faham secara saintifik mengenai perbezaan saiz otak, disleksia, diskalkulia akan menyampaikan maklumat kepada kanak-kanak yang terlibat. Penerangan yang diberikan perlulah ringkas dan tidak kompleks, sesuai dengan tahap pemahaman seorang kanak-kanak. Apa yang penting, maklumat yang disampaikan perlu disertakan dengan keyakinan dan boleh dipercayai serta bersesuaian dengan aras kanak-kanak itu. Dengan kefahaman dan informasi yang disampaikan, kanak-kanak yang bermasalah ini akan lebih faham perbezaan mereka dan mengerti bahawa mereka boleh membaca dan mengira cuma tidak seperti cara yang dilakukan oleh kanak-kanak biasa.

Mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak disleksia dan diskalkulia

Kemajuan di dalam bidang komunikasi dan teknologi perkomputeran sebenarnya memberikan banyak kelebihan dan peluang kepada kanak-kanak disleksia dan diskalkulia, atau mana-mana kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran untuk belajar seperti kanak-kanak normal lain. ICT mempunyai keupayaan untuk menambah faktor motivasi, menerap rasa ingin bersaing terhadap diri sendiri serta membina keyakinan diri (Thomas , 1992) dan Florian (2004) telah menyenaraikan enam kelebihan menggunakan ICT dalam persekitaran pembelajaran antaranya sebagai alat bantu mengajar, alat menilai pelajar, alat pengurusan pembelajaran, alat untuk berkomunikasi, alat bagi memperbaiki kaedah eksplorasi dalam pembelajaran dan alat pemudahcara. Kelebihan penggunaan ICT di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran turut disokong oleh Barnes dan Walter (2004) namun keseronokan yang dialami semasa penggunaan komputer dan peralatan ICT yang lain boleh mengambil alih nilai dan fungsi komponen ICT berkenaan sebagai alat bantu mengajar.

Mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak disleksia dan diskalkulia tidak hanya termaktub kepada penggunaan komputer dan perisian khas sahaja bahkan pelbagai komponen ICT lain turut diguna sama. Komponen ICT yang lain termasuklah pembesar suara, mesin pencetak, projektor LCD, skrin putih, papan kekunci, ‘joystick’, capaian internet, alat pengimbas dan papan putih interaktif. Kebanyakan sekolah di Malaysia, malahan hampir semua telah menerima bekalan peralatan ICT hasil daripada pelaksanaan program PPSMI yang telah mula dilaksanakan secara rasmi pada tahun 2003. Namun begitu penggunaan alatan ICT ini hanya berpusatkan PPSMI, lalu keperluan ICT bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran seperti disleksia dan diskalkulia terabai. Ini ditambah pula dengan ketidakupayaan guru atau personalia pendidikan yang lain mengenalpasti kanak-kanak bermasalah pembelajaran di dalam sesebuah kelas. Mekanisme biasa yang dibuat oleh pihak sekolah adalah menubuhkan kelas pemulihan, iaitu sebuah kelas berasingan dari kelas biasa dan diajar oleh guru-guru sama ada yang mempunyai opsyen pendidikan khas atau guru biasa yang tiada asas mengajar murid pemulihan. Definisi program pemulihan khas yang ditakrifkan dalam Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas Edisi Percubaan (2008) oleh Pusat Perkembangan Kurikulum adalah “Satu program pendidikan disediakan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran 3M yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus.”

Penggunaan ICT dan hubungannya dengan disleksia dan diskalkulia telah diterjemahkan secara terperinci oleh seorang penulis yang mempunyai anak disleksia. Anita Keates (2002), di dalam buku beliau yang bertajuk ‘Dyslexia and Information and Communications Technology’ telah menyatakan bahawa penggunaan ICT memberikan capaian terhadap kurikulum dan membekalkan keseronokan dan persekitaran pembelajaran kreatif yang sangat ideal terhadap kanak-kanak disleksia. Integrasi ICT terhadap pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak disleksia boleh dilaksanakan melalui beberapa kaedah. Kaedah pertama ialah dengan menggunakan perisian khas yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat ICT bagi mengesan disleksia dan diskalkulia seterusnya membantu kanak-kanak tersebut belajar. Sebagai contoh, perisian yang dinamakan CoPS (Cognitive Profiling System), CoPs Baseline dan Lass adalah tiga perisian khusus yang dapat mengesan disleksia dan diskalkulia di kalangan kanak-kanak. Perisian ini telah dibangunkan oleh Syarikat Lucid berpusat di East Yorkshire, Britain. Perisian ini menggunakan pendekatan permainan komputer untuk menguji kekuatan dan kelemahan kognitif kanak-kanak yang dapat memberi gambaran awal potensi disleksia dan diskalkulia. Wordshark, TextHelp Read and Write, Co-Writer, Bailey’s Book House, Numbershark, Millie’s Math House, Earobics, Easy Book dan Kid Pix adalah contoh-contoh perisian yang membantu kanak-kanak disleksia dan diskalkulia untuk belajar menulis, membaca, mengira, dan mengukuhkan sistem memori.

Namun begitu, perisian-perisian lain yang telah tersedia di dalam sesebuah komputer seperti Microsoft Office Word, Microsoft Office Excell, Microsoft Office Paint dan Microsoft Office Power Point juga turut membolehkan kanak-kanak disleksia dan diskalkulia belajar. Sebagai contoh, perisian yang paling mudah dan meninggalkan impak yang besar terhadap pembelajaran kanak-kanak disleksia dan diskalkulia adalah perisian Microsoft Office Power Point kerana perisian ini memberikan peluang kepada guru atau tenaga pengajar membuat animasi ringkas tetapi menarik.

Kaedah kedua adalah menggunakan capaian internet yang secara langsung dapat menghubungkan guru atau tenaga pengajar mengakses sumber pengajaran dan pembelajaran melalui laman-laman sesawang di seluruh dunia. Melalui internet, banyak maklumat dan sumber pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu kanak-kanak disleksia dan diskalkulia belajar. Terdapat laman-laman sesawang khusus untuk yang dibangunkan oleh individu berpengalaman atau persatuan disleksia dan diskalkulia untuk membantu menangani masalah pembelajaran. Kesimpulannya, ICT adalah pembangunan termaju yang dapat membantu menangani masalah pembelajaran seperti disleksia dan diskalkulia.

Kaedah Pelbagai Deria (Multisensory Method)

Dalam kontek pengajaran dan pembelajaran, setiap murid mempunyai tahap, keupayaan serta kecenderungan yang berbeza mengikut faktor-faktor tertentu. Oleh yang demikian, guru-guru perlu memainkan peranan yang penting bagi mengenalpasti kaedah yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu mencari satu cara atau kaedah yang membolehkan proses pembelajaran matematik lebih menyeronokkan dan bermakna. Kebanyakan pengajaran di sekolah adalah menggunakan sama ada deria penglihatan atau pendengaran semata-mata. Namun bagi kanak-kanak disleksia dan diskalkulia, ianya suatu pengalaman yang amat sukar untuk memahami konsep matematik.

Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang kanak-kanak berpeluang menjalankan pelbagai aktiviti bagi mengukuhkan konsep yang dipelajari, ingatannya terhadap konsep itu akan menjadi lebih baik. Oleh itu, kaedah yang paling berkesan untuk mengajar matematik adalah dengan melibatkan pelbagai deria yang dikenali sebagai kaedah pelbagai deria(Multisensory methods). Kajian daripada The National Institute of Child Health and Human Development menunjukkan bahawa kaedah pelbagai deria adalah pendekatan yang paling berkesan untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran. Menggunakan kaedah ini bermaksud membantu kanak-kanak tersebut belajar melalui lebih daripada satu deria terutamanya melalui sentuhan(touch) dan pergerakan (kinestetik). Kaedah ini dapat merangsang pembelajaran kanak-kanak dan menggalakkan mereka menggunakan sebahagian atau kesemua deria untuk :

(a) mengumpul maklumat tentang sesuatu tugasan;

(b) menghubungkan maklumat kepada idea yang mereka telah sedia ketahui dan fahami;

(c) melihat logik yang terlibat dalam menyelesaikan masalah;

(d) ‘tap into non-verbal reasoning skill’;

(e) memahami perhubungan di antara konsep;

(f) mempelajari maklumat dan menyimpannya untuk diingati pada masa akan datang.

Terdapat banyak kelebihan menggunakan kaedah pelbagai deria. Kaedah ini dapat membantu guru menyesuaikan gaya pembelajaran murid. Hasil kajian beberapa orang penyelidik mendapati ramai murid memiliki gaya pembelajaran mereka sendiri. Jika mereka diajar dengan menggunakan teknik yang konsisten dengan cara dan gaya pembelajaran mereka, maka persepsi dan pemprosesan rangsangan akan jadi lebih mantap dan berkesan. Justeru, mereka dapat belajar dengan lebih mudah, pantas dan boleh mengaplikasikan konsep matematik untuk pembelajaran yang seterusnya.

Kaedah pelbagai deria juga dapat merangsang pembelajaran secara visual. Bahan visual yang mengandungi animasi yang menarik dan juga berwarna warni membolehkan murid memperolehi daya imaginasi yang tinggi sehingga dapat menggambarkan bentuk, ruang, saiz, warna dan garisan. Contoh penggunaan bahan visual adalah poster, model, computer, filem, video, “multi-image media”, penggunaan warna untuk memaparkan nombor dan lain-lain bahan visual yang sesuai.

Teknik penggunaan bunyi (auditory techniques) yang terdapat di dalam kaedah pelbagai deria juga dapat merangsang “verbal reasoning”. Contoh penggunaan bahan audio adalah pembaca teks berkomputer (computerized text readers), video, filem, muzik, lagu dan lain-lain bahan audio yang sesuai.

Selain daripada teknik yang disebut di atas, terdapat satu lagi teknik yang melibatkan deria sentuhan yang dinamakan “tactile method”. Dalam kaedah ini guru boleh menggunakan objek-objek kecil seperti batu untuk mewakilkan nilai nombor untuk mengajar kemahiran matematik seperti mengira, melakukan proses penambahan, penolakan, pendaraban dan pembahagian. Selain daripada itu, guru juga boleh menggunakan bahan-bahan maujud seperti plastisin, tanah liat dan sebagainya untuk membina model terutamanya yang melibatkan tajuk 3-dimensi seperti kiub, kuboid, silinder dan lain-lain. Selain daripada itu, konsep pecahan juga dapat dipelajari dengan menggunakan aktiviti menggunting dan menampal keratan-keratan.

Kaedah pelbagai deria yang menggunakan pergerakan badan yang dinamakan kaedah kinestetik (kinesthetic method). Ia merupakan kebolehan yang dimiliki oleh murid-murid umumnya, ini kerana minat yang mendalam mempengaruhi kecerdasan mereka sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Ia merupakan kebolehan anggota badan dalam melakukan gerak hasil penyampaian idea, perasaan serta mencari keputusan kepada masalah. Sebagai contoh, permainan yang melibatkan aktiviti mengira seperti permainan Ludo dan dam ular adalah sangat sesuai bagi memberi peluang kepada murid mengira tanpa merasa mereka dipaksa belajar. Permainan komputer seperti Solitaire juga membantu murid melakukan penyusunan bersiri.

TEN-FRAME

Penggunaan Ten-Frame dalam pengajaran murid dyscalculia dapat membantu mereka untuk mempelajari matematik. Ten-frame adalah susunan dua baris yang setiap satunya mengandungi lima kotak kecil. Ia adalah lanjutan dari penggunaan benda maujud dan chip dalam aktiviti membilang. Susunan bintik-bintik di dalam ten-frame dapat membantu murid untuk melihat secara visual & mengingati secara mental pola bintik untuk nombor 1 hingga 10. Murid yang diajar dengan menggunakan Ten-frame ini juga dapat mengingat nama serta nilai nombor tersebut secara langsung. Selain daripada itu penggunaan ten- frame juga dapat membantu murid mengenalpasti dan menentukan nilai tempat sesuatu digit

Titik yang terdapat pada ten-frame itu juga dapat digunakan sebagai penanda aras bagi mengambarkan imej bagi setiap nombor dengan menggunakan 5 dan 10. Contohnya, murid boleh menentukan nilai bagi sesuatu nombor. Sama ada nilainya banyak atau sedikit. Ataupun murid boleh juga menentukan nombor yang mana lebih atau kurang nilainya.

Penggunaan ten-frame juga dapat membantu guru untuk menemukan strategi mudah dalam memahami hubungan antara nombor. Ini dapat membantu guru untuk mengajar murid dalam matematik. Antara contoh Ini dapat membantu guru untuk mengajar murid dalam matematik. Antara contoh teknik pengajaran yang boleh yang boleh digunakan untuk mengajar murid ialah mencerakinkan nombor, menggunakan 5 & 5, menggenapkan 10, gandaan, dan hukum tukar- tertib dalam penambahan

CHILD LANGUAGE APPROCH

Child language approach adalah pendekatan yang menggunakan bahasa sebagai pedekatan pengajaran. Bagi kanak-kanak dyslexia, tahap penguasaan bahasa mereka adalah pada tahap minima. Oleh itu, pendekatan yang boleh digunakan untuk mengajar kanak-kanak ini adalah dengan menggunakan laras bahasa mereka. Pendekatan Child language approach di bahagikan kepada 4 peringkat. Pada peringkat pertama, pengajaran sesuatu konsep perlu dimulakan dengan penggunaan bahan samada berbentuk gambar, video atau sebarang simulasi. Murid perlu menceritakan apa yang dilihat dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh murid. Pada peringkat kedua iaitu peringkat Material Language, murid perlu mencaritakan tentang objek-objek yang terdapat di dalam gambar samada tentang bentuk, warna atau sebagainya. Selain daripada itu , guru boleh membimbing murid untuk meneroka perkataan-perkataan baru sepanjang mereka bercerita. Peringkat ketiga ialah peringkat Mathematical Language. Pada peringkat ini guru perlu merangsang murid untuk mendapatkan idea matematik ataupun penyataan matematik daripada gambar tadi. Murid juga perlu menyatakan bilangan objek yang terdapat pada gambar tersebut. Peringkat terakhir adalah Mathematical Symbols. Peringkat ini adalah peringkat dimana penggunaan nombor, ayat matematik dan operasi mula diperkenalkan oleh guru. Guru perlu membimbing murid untuk menyatakan nombor, menyatakan operasi dan seterusnya membina ayat matematik.

Pengetahuan tentang nombor perlu di perkenalkan kepada murid terlebih dahulu sebelum mereka mempelajari ilmu matematik. Keupayaan memahami penggunaan nombor dan operasi sepatutnya seiring dengan keupayaan mereka menggunakannya dalam pelbagai cara. Setiap guru perlu membimbing murid- murid mereka dengan menggunakan pelbagai cara tidak terbatas kepada algoritma biasa sahaja. Walaubagaimanapun, pedekatan Child language approach ini adalah berasaskan kepada pendekatan secara penerokaan. Guru perlu menghindari penggunaan perkataan betul atau salah semasa pengajaran. Guru perlu mengawal diri daripada memberikan jawapan terus kepada murid sebaliknya guru perlu membimbing murid untuk mendapatkan jawapan yang betul. Dan akhir sekali, guru perlu membimbing murid untuk mengemukakan idea dan pendapat mereka.

Setiap pendekatan yang digunakan mempunyai keistimewaan. Child language approach memberikan murid peluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran. Mereka dapat membina kemahiran berfikir dan mereka juga dapat menyumbangkan buah fikiran meraka dalam aktiviti yang dijalankan selain daripada itu guru juga dapat membaca dan menilai apa yang difikirkan oleh murid. Pendekatan ini adalah pendekatan yang menarik dan mengembirakan murid disamping dapat memberikan persekitaran yang selesa kepada murid . Murid dapat menjadi penutur yang aktif. Mereka juga memperkayakan perbendaharaan kata dan mencambah pemikiran mereka. Pembelajaran yang bermakna adalah pembelajaran yang terbaik.

Bibliografi

K.A.Razhiyah. (2006). Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar? Kuala Lumpur: Penerbitan PTS Professional.

Devaraj, S. & Samsilah, R. (2008). Apa itu Disleksi ? Panduan Untuk Ibu Bapa & Kaunselor. Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Florian, L. (2004), “Uses of technology that support pupils with special educational needs”, in Florian, L. and Hegarty, J. (Eds), ICT and Special Educational Needs: a Tool for Inclusion, Open University Press, Buckingham, pp. 7-20.

Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2008 (Edisi Percubaan), Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ke, A. (2002). Dyslexia and Information and Communications Technology, A Guide for Teachers and Parents (2nd edition), London: David Fulton Publishers.

Thomas, M. (Ed.) (1992), I.T. and Students with Emotional and Behavioural Difficulties, National Council for Educational Technology, Coventry.

Annette Karmiloff-Smith (1999), A Functional Approach to Child Language: A Study of

Determiners and Reference, New York, University of Cambridge.

Dyslexia Teacher- confidence Building. (n.d). Retrieved January 24, 2010, from

http://www.dyslexia –teacher.com/t66.html

Dyslexia online magazine. (2003. December). Retrieved Januari 24, 2010, from

http://www.dyslexia-parent .com/mag47.html

http://learningdisabilities.about.com/od/instructionalmaterials/p/multisensory.htm http://www.teachingexpertise.com/articles/multisensory-maths-teaching-sen-5209 January

http://www.dyslexia-teacher.com/t61.html

http://child-1st.typepad.com/my_weblog/dyscalculic-learners/

http://www.heidisongs.net/HeidiSongs_Downloads/Downloads.html

http://www.apsu.edu/education/MathEd/TenFrames.html

No comments:

Post a Comment

Post a Comment